PRIHATIN terhadap kesengsaraan mangsa gunung berapi Merapi, Yogyakarta Indonesia yang meletus, baru-baru ini, Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak dengan kerjasama Alumni UTP dan South East Asian Regional Assembly Muslim Youth (SARMY) melancarkan kutipan dana bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Yogyakarta Indonesia.
Program itu turut menyasarkan matlamat agar bantuan diterima mampu mengeratkan lagi perhubungan dan kerjasama antara dua negara. Misi kali kedua itu dilancarkan selepas Misi Bantuan Kemanusiaan UTP ke Padang Indonesia pada awal 2010 lalu yang dilanda gempa bumi.
Timbalan Pengarah Misi Khas Bantuan Kemanusiaan, Norhazini Awang, berkata pemilihan Yogyakarta mampu mengembalikan keceriaan penduduk selepas mengalami kesedihan akibat dilanda tragedi dahsyat.
Menurutnya, ia sebagai tanda sokongan UTP terhadap program kebajikan dan pembangunan sosial.
"Melalui misi ini, UTP berharap mampu membantu meredakan kesedihan ditanggung mangsa terbabit selain membuktikan keprihatinan kami.
"Misi ini memberi pendedahan warga UTP terhadap program kemanusiaan dan pengantarabangsaan," katanya.
Program empat hari itu memberi fokus utama kepada program motivasi kepada anak yatim termasuk golongan ibu kerana mereka berisiko mengalami trauma selain bimbingan memulakan kembali penghidupan.
Dana sebanyak RM30,00 diperlukan bagi menampung pembinaan pusat komuniti, baik pulih sistem saliran dan perbelanjaan lain.
"Kami berharap ada pihak prihatin menyokong usaha mewujudkan program ini di masa depan.
"Warga UTP sentiasa proaktif menjalankan misi kemanusiaan kerana yakin ia mampu menjana proses pendidikan berkesan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan