Karya : muhakim.blogspot.com
1. Semalaman ana menghabiskan bacaan buku thriller terhebat Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Buku terbaru keluaran alaf21 yang bertajuk 9 Nyawa memang mengkhayalkan. Sedar tak sedar, hampir 3 jam dihabis untuk menghadamkan buku yang bertebal lebih hampir 500 muka surat ini.
2. Permulaan ceritanya memang amat mengasyikkan. Membawa ana meneroka ke alam yang tidak mampu untuk difikirkan oleh akal melainkan dengan panduan ilahi. Penulis buku ini berjaya meruntun ana ke persoalan tahyul yang sering bermain di minda masyarakat. Cuma kali ini penulis menyerang fahaman sonsang kucing mempunyai 9 nyawa dan mampu memindahkan nyawa tersebut kepada manusia. Dan serangannya memang mampu menghancurkan kefahaman tahyul tersebut. Syabas Bro Ramlee!
3. Menariknya mengenai buku ini adalah kerana menceritakan pengalaman peribadi hero buku ini, seorang lelaki buta yang bernama Hakim. Kebetulan namanya sama dengan ana. (^_^) Hakim buta matanya namun hatinya tidak. Keikhlasan dan kejujuran menyebabkan dia dianugerahi dengan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Hakim dikurniakan deria yang 'keenam'. Dia mampu mendengar suara orang yang berada diantara alam hidup dan mati.
4. Bunyinya agak pelik. Namun dalam novel, apa sahaja boleh terjadi. Dan gaya penulisan Bro. Ramlee memang meyakinkan para pembacanya. Segala sesuatu boleh terjadi dengan kuasa Allah. Dengan sebab atau tanpa sebab. Ianya juga agak logik untuk diterima akal kerana 'kelebihan' mendengar Hakim ini terjadi hanya pada mereka yang mengalami koma. Dan kebetulan, Hakim yang buta matanya bekerja sebagai telefonis di hospital, yang sudah tentu menempatkan ramai manusia yang cedera , koma dan mati.
5. Disinilah perkara menarik yang ingin ana berkongsi dengan semua, pengalaman Hakim bertemu dengan suara-suara 'roh' yang menderita kesakitan. Mengaduh, meraung dan merintih. Semuanya menyesal kerana tidak menggunakan kehidupan yang sihat dahulu dengan baik.
6. Antara cerita yang begitu menginsafkan hati ana, Hakim telah bertemu dengan 'roh' seorang usahawan yang sangat berjaya, bernama Datuk Jalaludin (jika tidak silap). Namun rohnya tak dapat pergi (baca: ke akhirat) kerana tersangkut dengan hutang yang sangat besar dengan rakan niaganya, hampir 2 juta USD. Besar hutangnya kerana dia menipu saham rakan niaganya di awal perniagaan dan jumlah itu meningkat dari hari ke hari.
7. Menginsafkan. Apabila direnungkan kembali keadaan naif "Roh Datuk Jalaludin" tersebut. Tersepit antara alam dunia dan alam akhirat. Sekaligus meruntun ana untuk merenung amal peribadi. Adakah ana sendiri akan bertemu dengan kematian yang baik ataupun buruk?
8. Ini membuatkan ana bertambah nekad dan bersemangat untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Padang , Indonesia pada minggu hadapan. Kerana, disitu lubuk pahala dapat dijana. Banyak bantuan dapat dihulurkan. Jutaan pahala menanti untuk dituai dan dikutip. Diri ini terlalu banyak khilaf dan dosa. Sedangkan amal ini terlalu sedikit sekali .... untuk menjadi bekal di akhirat nanti.
9. Saranan ana kepada pembaca tulisan ini, bacalah buku 9 Nyawa tersebut. Insya Allah berbaloi. (^_^) Kedua, Banyakkanlah bertaubat atas dosa-dosa kita. Ketiga, perbanyakkanlah amal...walau sekecil mana sekalipun. Dan jika mahu beramal, ana ada tawaran kecil....khususnya kepada semua warga UTP. Marilah lapangkan dada dan ringankan tangan untuk menyumbang kepada perbelanjaan misi bantuan kemanusian ke Padang ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi saham kita untuk melepaskan diri dari azab seksa Allah yang dahsyat di akhirat kelak.
10. Sesungguhnya kita hanya ada 1 nyawa sahaja di dunia ini. Dan kita hanya mati sekali sahaja, namun kita akan hidup dua kali, kali pertama di dunia ini, dan kali kedua di akhirat kelak... Jika kita memilih untuk hidup bahagia di kehidupan kedua, pastikan kita akhirkan kehidupan pertama kita juga dengan bahagia.