29 Disember 2010

Kenyataan Rasmi Presiden Rakan Masjid : Misi Khas UTP





KENYATAAN MEDIA (29 DISEMBER 2010)

MISI KHAS BANTUAN KEMANUSIAAN GUNUNG MERAPI, YOGYAKARTA

Bersyukur kepada ALLAH Tuhan sekalian alam yang memberikan kesempatan untuk kita menikmati kehidupan. Saban tahun bencana alam terjadi dan pada akhir Oktober 2010, dunia  digemparkan dengan letusan Gunung Merapi yang serius  di Yogyakarta, Indonesia.

Atas kesedaran semangat kemanusiaan dan tolong menolong, sebuah misi khas kemanusiaan akan dilancarkan pada 5 Januari 2011 hingga 8 Januari 2011 yang dianjurkan oleh Sekretariat Misi Khas Bantuan Kemanusiaan Gunung Merapi Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Sekretariat ini dianggotai oleh Rakan Masjid UTP (RMUTP), Majlis Perwakilan Pelajar UTP (MPPUTP), Unit Sokongan Kolej Kediaman UTP (RCSU UTP), Kelab Media dan Teknologi UTP (MEDTECH), Hal Ehwal Siswi UTP (HELWIUTP) dengan kerjasama Alumni UTP dan South East Asian Regional Assembly of Muslim Youth (SARMY). Misi ini merupakan misi kedua yang dilancarkan selepas misi pertama ke Padang pada awal Januari 2010.

Sehingga kini, lebih daripada 350 000 orang telah terkesan dengan dahsyat akibat daripada letusan Gunung Merapi. Dilaporkan bahawa 353 orang maut disebabkan bencana tersebut, kebanyakannya akibat daripada arus debu yang panas. Perhubungan udara dan darat juga banyak terganggu. Kini semakin ramai yang merana dan terpaksa bersusah payah menghadapi saat-saat getir hidup dalam ketakutan, trauma, kemiskinan dan kesusahan.

Justeru, misi selama 4 hari ini berhasrat untuk membantu penduduk Yogyakarta dalam pembinaan semula infrastruktur yang penting seperti membangun perkara asas Pusat Komuniti Sejahtera, perbetulan saliran paip, pemberian alatan sekolah, penyerahan bantuan khas, membaik pulih kebun tanaman dan motivasi menghilangkan trauma kepada masyarakat dan anak-anak yatim. Sesungguhnya semua ini memerlukan bantuan dan sokongan padu dari seluruh rakyat Indonesia dan Malaysia sendiri dari segi kewangan dan doa.

Misi ini juga bercadang untuk membina jaringan perhubungan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) kemanusiaan di Malaysia dan Indonesia serta membina hubungan baik sesama mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Sesungguhnya, dengan adanya perhubungan ini akan memberi kemudahan kepada warga Malaysia khususnya mahasiswa untuk mempelajari seni bantuan kemanusiaan. Hasil misi ini akan dikongsikan bersama warga Malaysia dan khususnya warga Universiti Teknologi PETRONAS yang memberikan sokongan penuh kepada misi khas ini.

Kami juga ingin menyampaikan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya mereka yang telah banyak menyumbang kewangan ke dalam tabung kemanusiaan Gunung Merapi ini. Sesungguhnya bencana ini memberi peringatan kepada kita untuk sentiasa bersyukur kepadaNYA dan memberi bantuan kepada yang memerlukan.



Zaiyinul Ain Bin Zainal Rafit
Pengarah Misi Khas Bantuan Kemanusiaan Gunung Merapi,
Merangkap Presiden,
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
zain.ain90@gmail.com || 019-4549914

Tiada ulasan:

Catat Ulasan